Ramai di kalangan masyarakat, apabila
zaman bujangnya, tubuhnya tidaklah sebesar atau selebar selepas
berkahwin. Mungkin lebih kecil kelebarannya berbanding sekarang.
Namun, selepas berkahwin, keadaan tersebut berubah.
“Muka kau
sekarang ni bagai di pam-pamlah. Bulat sungguh!”
“Bulatnya kau
sekarang ni!”
“Uit, dah nampak
dah perut tu. Makin ke depan dah tu…”
Itulah antara komen-komen yang diberi.
Kenapa boleh jadi begitu? Kenapa lelaki
mudah menjadi gemuk selepas berkahwin?
Sebelum berkahwin, seseorang lelaki yang
muda dan bujang kebiasaannya:
- Basuh, jemur dan lipat pakaian sendiri.
- Semua kerja harian dilakukan sendiri.
- Bersukan di padang atau trek hampir setiap hari.
- Menjaga makanan dan minum. Malah ada yang berpantang.
Tetapi selepas berkahwin, ada beberapa
perubahan yang berlaku secara mendadak atau sedikit demi sedikit kepada
mereka. Antaranya:
- Isterinyalah yang membasuh, menjemur dan melipat pakaian-pakaiannya. Jika lelaki itu membantu pun, bantuannya sangat minima. Banyak diperbuat oleh isterinya dengan ikhlas dan kasih sayang.
- Jika semasa bujang dulu semuanya dilakukan secara manual. Contohnya jika membasuh pakaian, pakaian-pakaian itu disental dan diperah dengan tangan. Kini bukan sahaja menggunakan mesin basuh, malah banyak dilakukan oleh isteri pula. Lain-lain aktiviti juga banyak dibuat mesin berbanding dengan keringat sendiri.
- Jarang sudah bersukan, malah ada yang tidak langsung bersukan lantaran sayang untuk meninggalkan isteri di rumah. Atau mungkin sibuk dengan melayan manja si isteri. Kadang-kadang disebabkan oleh kekangan waktu kerja, contohnya balik lewat, tak sempat hendak bersukan pada petangnya atau kebiasaannya sudah letih.
- Dalam bab makanan pula, kadang-kadang si suami bukan sahaja makan makanan yang disediakan oleh isteri untuknya, tetapi turut juga menghabiskan makanan yang tidak dapat dihabiskan oleh si isteri dengan alasan tidak mahu membazir. Bahkan makanan lebihan di dalam kuali atau periuk turut juga dihabiskan oleh si suami dengan alasan yang sama.
- Dalam bab makanan juga, jika semasa bujang dulu tiada makanan atau minuman semasa santai-santai. Tetapi, apabila sudah berkahwin, si isteri dengan ikhlas dan kasih-sayang selalu menjamu si suami dengan makanan dan minuman ketika sedang duduk santai-santai.
- Lebih tragis apabila selepas makan, kadang-kadang tu si suami meletakkan kepala atas ribaan isteri sambil tonton TV. Akibat dibelai-belai manja si isteri, langsung tertidur. Bukan 1 atau 2 kali, tapi banyak kali. Banyak dipesan oleh orang-orang tua kita bahawa tidur sejurus lepas makan adalah suatu tabiat yang tidak elok untuk kesihatan.
- Dan lebih memburukkan keadaan lagi apabila si lelaki tersebut sudah mempunyai anak yang sudah agak besar yang boleh diminta tolong mengambil barang itu dan ini, tanpa perlu mengambilnya sendiri lagi.
- Faktor kewangan yang semakin baik juga menjadi faktor barangkali. Dulu semasa bujang, kebiasaannya gaji biasa-biasa sahaja. Makan dan minum kadang-kadang dijamakkan. Bukan sahaja ‘dijamakkan’, bahkan ‘diqasarkan’ pula. Catu situ, catu sini. Tetapi apabila berkahwin, apabila rezeki semakin bertambah, makan pun semakin kerap, bahkan sedap dan banyak pula. Selera makan orang berkahwin pun kebiasaannya lebih kuat berbanding orang bujang.
Itulah antara yang dapat saya lihat.
Itu sekadar faktor luaran. Mungkin tuan/puan boleh tambah lagi
sebab-sebabnya. Saya tidak mampu memberi komen dari sudut saintifik
yang mungkin turut menyumbang kepada faktor mengapa lelaki mudah menjadi
gemuk selepas berkahwin. Mungkin apa yang saya tulis ini tidak benar
100%, tapi ia ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, hehe…
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa
sallam adalah lelaki contoh yang kita semua patut dan mesti ikut. Dada
dan perut Baginda sama ‘level’. Dadanya bidang dan sendinya kelihatan
gagah dan kuat. Jalannya laju. Makannya sedikit. Tidurnya sedikit.
Apabila di rumah, kerja-kerja rumah diperbuat sendiri oleh Baginda
sallAllahu `alaihi wa sallam dan Baginda bantu juga isteri-isterinya
apabila di rumah.
Kita bagaimana?
Seorang sifu martial art berkata kepada
saya yang lebih kurang maksudnya:
“Kita patut sentiasa fit. Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sangat fit. Pada umurnya 50an, Baginda di kemuncak fit sebab masa tu berlaku hijrah dan banyak peperangan berlaku pada masa tu. Nabi berhijrah dan berperang ketika umur 50an. Kita tak sampai 40, dah tak fit.”
Saya terkedu…
Semoga ia dimuhasabah oleh semua lelaki.
Saya terutamanya. Mungkin patut jadi azam kepada kita semua untuk
sama-sama berubah menjadi lelaki yang menghampiri ciri-ciri lelaki
unggul sebagaimana yang ada pada diri Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi
wa sallam.
Buat lelaki yang belum berumahtangga,
cetusan ini dapat dijadikan sebagai cetusan untuk kalian berhati-hati
dan berwaspada. Buat yang sudah berumahtangga dan sudah mengalami
kegemukan, maka cetusan ini untuk kita sama-sama (saya sebut ‘kita
sama-sama’) muhasabah dan berubah.
Itu lelaki. Bagaimana pula perempuan?
Kenapa mereka juga mudah menjadi gemuk selepas berkahwin? Itu kena
tanya kaum perempuan…
Allahu A`lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan