Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 21 Mei 2010

Produk orang Islam, melayu, lagi suci tapi tak boleh dapat logo Halal?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Seorang pengusaha produk makanan ringan secara kecil-kecilan dari Felda Suharto, Kuala Kubu, Selangor mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengamalkan diskriminasi terhadap bumiputera dalam isu pemberian logo halal.

Mohd Rufie Waris dalam aduannya kepada Harakah dan Harakahdaily berkata, beliau yang sudah 20 tahun melibatkan diri dalam bidang itu belum mendapat logo Halal daripada Jakim walaupun sudah berkali-kali memohon.

Lebih menimbulkan masalah apabila bermula awal tahun ini, produk beliau yang dipasarkan di hentian rehat (R&R) arah utara dan selatan tidak boleh lagi diterima peniaga di situ kerana tidak mempunyai logo halal.

Ekoran itu, beliau memberitahu, golongan ibu tunggal yang bergantung kepada perusahaan beliau untuk mendapatkan pendapatan sudah hilang sumber pendapatan.

Mohd Rufie menjalankan perusahaan makanan ringan tersebut dengan cara membeli bahan mentah dan ianya akan diproses oleh beberapa ibu tunggal di kawasan tersebut.

Apabila siap diproses, Mohd Rufie akan mengambilnya dari rumah ke rumah untuk dipasarkan ke kedai runcit di kawasan sekitar dan juga R&R bermula R&R Rawang sehingga ke R&R Bukit Merah bagi laluan utara dan R&R Sungai Buluh sehingga R&R Pagoh bagi laluan selatan.

Namun, bermula Januari tahun ini, produk makanan yang diusahakan tidak lagi diterima peniaga di R&R atas arahan pihak pentadbiran PLUS.

Ujarnya, beliau dimaklumkan peniaga di situ, mereka akan didenda RM10,000 untuk setiap satu barang yang tidak mempunyai logo halal.

"Isunya sekarang ini saya tidak boleh memasarkan barangan saya dan sumber pendapatan untuk ibu tunggal sudah tidak ada. Masalahnya hanya kerana tidak ada logo halal," katanya yang hadir sendiri ke pejabat Harakahdaily hari ini.

Apa yang dikesalkan beliau apabila Jakim seolah-olah meminggirkan golongan pengusaha kecil seperti beliau apabila memberi alasan produk beliau tidak layak menerima logo halal kerana tidak diusahakan secara industri.

Perkara itu ujarnya, dinyatakan sendiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Abdul Hamid Mohamed Salleh sewaktu Mohd Rufie bertemu beliau pada Mac lepas.

"Pada 13 Mas lepas saya pergi berjumpa sendiri dengan Abdul Hamid di pejabat Jakim. Saya buat aduan dan tanya kenapa saya tidak boleh dapat logo halal. Beliau kata sebab saya tidak ikut prosedur. Saya tidak masuk dalam industri, kilang pun tidak ada. Beliau kata kalau usahakan di rumah, memang tidak dapat logo halal.

"Saya bukan emosional tapi saya adalah pembayar cukai. Saya meniaga sudah 20 tahun. Bukan 20 hari. Saya pun membantu ibu tunggal. Ke mana lagi saya nak mengadu?Siapa yang akan bela nasib bumiputera?,".soalnya.

Menurutnya juga, ramai kawan-kawannya yang mengalami nasib yang sama tetapi tidak berani untuk membuat aduan.

"Saya bercakap bukan untuk saya seorang. Banyak pengusaha bumiputera yang mengalami nasib yang sama.Kalau di Selangor ini ada dalam 70 orang pengusaha yang tidak dapat pohon logo halal," ujarnya

Sehubungan itu, beliau merayu agar Kerajaan khususnya Jakim prihatin dengan nasib pengusaha kecil seperti mereka, bukan hanya memberikan logo halal kepada pengusaha yang sudah maju sahaja.

"Saya merayu dan menyerulah bagi pihak kawan-kawan saya,supaya Kerajaan turut membantu peniga dan pengusaha yang baru hendak meningkat naik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan